Wednesday, 1 February 2012

Baca Al-quran Dengan Bertatih-tatih Dapat Dua Pahala




DARIPADA Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: �Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.� (Hadis riwayat Muslim)
Allah berfirman yang bermaksud: �Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam kitab cukup terpelihara (Lauhul Mahfuzh), yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk diakui bersih suci; al-Quran itu diturunkan daripada Allah Tuhan sekalian alam.� (Surah al-Waaqiah: 77-80)
Dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian al-Quran perlu dititikberatkan kerana melalui al-Quran Allah memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk mencapai keredaan dan keselamatan. Melalui al-Quran hamba-Nya dikeluarkan daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Oleh yang demikian Allah mengangkat dan memuliakan orang yang suka membaca al-Quran seperti mana sabda Rasulullah yang bermaksud: �Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.� (Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi) Kebaikan membaca al-Quran antaranya, bagi orang yang membaca al-Quran dengan maksud untuk menghafalnya dan dilakukan dengan susah payah maka baginya dua kali pahala, iaitu pahala membaca dan pahala susah payah menghafalnya.

Sementara orang yang membaca al-Quran dengan lisan tertatih-tatih dan berat dirasakannya (gagap) maka baginya dua pahala. Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran dan mengamalkannya lebih besar darjatnya daripada orang yang tidak membaca al-Quran.

Ibnu Abbas menceritakan bahawa Nabi SAW pernah bersabda: �Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak hafal) suatu ayat al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong.�

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment